Rabu, 2 Mac 2011

Tasawwuf Menurut Pandangan Imam Al-Ghazali







Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang
Tasawwuf itu adalah salah satu cabang ilmu yang menceritakan tentang ketuhanan dan pendekatan kita untuk mengenal Khaliq. Oleh yang demikian, Pada Entry kali ini saya ini kongsikan serba sedikit tentang pandangan imam Al-Ghazali tentang ilmu tasawwuf ini. Imam Al-Ghazali adalah salah seorang tokoh sufi yang terkenal. Beliau sanggup melepaskan jawatan yang tertinggi demi mencari keredhaan Allah dan ingin mendekati Allah S.W.T.
Tasawwuf Mengikut Pandangan Imam Al-Ghazali
Imam Al-Ghazali adalah salah seorang ahli sufi. Sebelum beliau menjadi ahli sufi, beliau tidak memberi penilaian dengan mudah sebelum mengetahui hakikat yang menjadi penilaiannya. Sebelum beliau membuat kesimpulan dalam menentukan manakah yang betul bagi membawa dirinya kepada agama yang benar, beliau mengkaji secara keseluruhan semua aliran yang mendakwa semua “ini yang paling benar”. Walaupun pada masa itu banyak aliran dan mazhab yang mengakui paling benar. Beliau menghabiskan separuh masa untuk mencari dan mengkaji semua aliran yang berkembang.
“ Sejak muda, semasa berumur kurang dari dua puluh tahun sehingga sekarang lebih dari lima puluh tahun aku tidak henti-henti menyelami lautan luas ini. Aku meneliti setiap kepercayaan, aku mendalami setiap mazhab dan aku mengkaji setiap ajaran bagi membuktikan mana yang betul : Bathiniyyih, Zhahiriyyah, Kalam, Falsafah dan Tasawwuf. Tidak ketinggalan juga kaum zindiq dan mu’athil.”   (Munqidz Min Al-Dhalal)
Beliau menemui kesimpulan, jalan tasawwuf adalah jalan yang benar bagi mencapai kebahagian yang sebenarnya. ‘Benar’ menurut pandangan Al-Ghazali adalah jalan yang ditempuh oleh para sufi adalah jalan pengalaman. Mereka merasakan bagaimana lazatnya beragama, merasakan pertemuan dan dekat dengan Allah. Tidak seperti para ahli kalam yang asyik memikirkan sekitar perkataan dan logikal bagi membuktikan adanya Tuhan. Sedangkan kita boleh merasakan dan lihat, bukan dengan pancaindera ataupun pemikiran tetapi dengan perangkat batin yang dinamakan dzauq, setelah diasah terlebih dahulu melalui pengolahan batin.
            Kita boleh mengambil definisi tasawwuf adalah berhubungan dengan masalah pembersihan dan mengolah sudut batin dalam diri manusia yang meliputi nafs,walbu, ‘aql dan dzauq. Menurut penjelasan al-Ghazali, islam adalah berhubung dengan masalah syariat ataupun kaedah fiqh. Sebagai contoh seperti syarat dan rukun solat, hukum puasa dan zakat serta tatacara melakukan ibadah haji. Iman adalah masalah akidah, terutama yang menjadi kajian para ahli kalam. Sedangkan ihsan adalah sebagaimana memberi suatu citarasa dan perasaan batin pada islam dan iman. Semasa kita mengerjakan sembahyang contohnya, mungkin secara fiqh perlakuannya betul. Namun, secara ihsannya kita belum tentu lagi betul. Ini kerana ihsan berhubungan dengan sudut batin, seperti niat dan kekhusyukkan. Berdasarkan definisi yang dikemukakan Imam al-Ghazali dalam kitab ihya’-nya, tasawwuf adalah sebahagian dan tiang agama.
            Terdapat banyak rahsia bila kita mempelajari ilmu tasawwuf ini. Salah satu rahsia tasawwuf ini adalah kita dapat mengenali diri kita sendiri dan dekat dengan Allah S.W.T. Menurut al-Ghazali dalam kitab Mi’raj Al-Salikin, jiwa hadir bersama badan (maujudat ma’al badan) dan melalui jiwalah kita boleh memahami perkara-perkara yang bersifat ghaib (perkara-perkara metafizik)
“ Masalah kenabian, ganjaran perbuatan manusia dan semua berita mengenai akhirat tidak ada ertinya sekiranya nafs (jiwa) tidak ada. Kerana, semua ajaran-ajaran agama hanya ditujukan kepada wujud yang dapat memahaminya.”                         (Petikan kalimat Al-Ghazali dari kitab Ma’arij Al-Quds)
Tasawwuf mengikut pandangan Imam Al-Ghazali juga adalah tasawwuf yang berdasarkan syariat. Ini disebabkan kepada mereka yang mengaku sudah mencapai maqam hakikat dan tidak memerlukan syariat lagi. Anggapan tasawwuf sebagai suatu bidaah selalu ditujukan kepada mereka yang bertasawwuf tetapi mengabaikan hukum syariat.
 Dalam susunan perjalanan menuju Allah, syariat selalu diumpamakan sebagai pagar, thariqat sebagai jalannya, hakikat sebagai tangga untuk naik manakala makrifat pula adalah proses mikraj atau naik ke langit bertemu dengan Allah S.W.T. Al-Ghazali adalah seorang yang berjasa meletakkan kembali tasawwuf dalam pagar syariat melalui karya-karyanya. Beliau menerangkan secara jelas hubungan diantaranya. Didalam masalah ini dianggap sudah berhasil membersihkan tasawwuf dari perkara-perkara bidaah dan tidak benar. Beliau membawa ajaran tasawwuf yang berasaskan kepada syariat.
Konsep tuhan dalam menurut tasawwuf pula mengikut pandangan al-Ghazali dalam kitab Ihya ‘Ulum al-Din :
“Inilah kebanyakkan manusia, pada masa semua cita-citanya berkisar di sekitar perut, kemaluan dan permusuhan. Yang menghairankan, dia menentang para penyembah berhala dan memerangai pemuja batu. Sedangkan, sekiranya dia mengetahui keadaan dirinya yang sebenarnya, mengenai hakikat hatinya seperti penglihatan para ahli kashaf,akan nampaklah dirinya patuh dihadapan seekor khinzir (lambang syahwat dan hawa nafsu). Dia sujud di hadapan khinzir, kadang-kadang rukuk menunggu petunjuk dan perintahnya. Pada masa sang khinzir bergerak dan meminta sesuatu, dengan segera dirinya melayan kehendak khinzir itu.”
Tuhan-tuhan yang menguasai fikiran dan hati kita ada banyak. Itulah berhala-berhala yang kita sembah.  Begitu juga dengan tuhan-tuhan yang dibentuk secara sedar oleh hawa nafsu dan syahwat kita. Rumah Tuhan adalah hati manusia. Sekiranya hati seorang mukmin itu bersih, bebas dari hawa nafsu, syahwat dan tuhan-tuhan berhala, Allah akan hadir di hati mukmin itu.
            Ramai orang yang mengatakan apabila dilanda masalah, dia akan mengatakan bahawa tuhan sedang marah dan membencinya. Sekiranya kita miskin ataupun sengsara, bermakna tuhan sedang mara atau sebaliknya. Jika kita lihat kembali pada kisah para nabi dan rasul, juga orang yang suci, ramai diantara mereka yang dicintai tuhan, tetapi mereka diberikan ujian. Sebagai contohnya, Nabi Ayyub yang diuji dalam bentuk kemiskinan dan juga penyakit. Ujian yang datang itu tandanya Allah S.W.T menyayangi diri kita supaya kita menyerahkan segala kepadaNYA dan mendekatkan diri kepadaNYA...insya’Allah…. Allah Hu Rabbi…….

2 ulasan:

  1. bermanfaat sekali ni posting.., mengingatkan kita utk sel;alu taat beribadah :)

    BalasPadam
  2. Masdani : Insya'Allah semoga kite sentiasa dekat dengan NYA... :)

    BalasPadam

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...